A Secret Journey: Di Balik Sebuah Mimpi

01 April 2018

Di Balik Sebuah Mimpi

#Bloggers...hari ni saya nak kongsikan cerpen saya, harap sudilah baca k hihi...sebenarnya cerpen ni pernah saya cuba hantar bagi penyertaan satu pertandingan tapi tidak berjaya. Mungkin, hasil tulisan belum cukup mantap kot atau tidak ikut tema yang di bagi. Jadi tidak salah kalau saya share di blog kan, manalah tahu ada juga yang boleh bagi kritikan hehe. Dipersilakan...


Tajuk : Di Balik Sebuah Mimpi


Nafasku bagai dicantas. Mataku tidak ingin tutup, aku memerhatikan saja rakanku itu.
"Asnah! Asnah! Tolong aku!" kata Dirah kepadaku. Lehernya dirangkul oleh tangan milik seorang lelaki.
Si lelaki tersenyum gembira, dia menarik Dirah masuk ke hutan yang gelap itu. Topeng yang dikenakan pada wajah hanya terlihat bibirnya sahaja. Pokok-pokok yang tumbuh tidak tersusun itu masih dapat dilihat walaupun dalam keadaan samar-samar saja. Aku masih kekal berdiri di sana. Menanti apa yang akan berlaku seterusnya. Aku kaku. Aku seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat saja temanku itu dibawa masuk ke hutan. Lama-kelamaan kelibat mereka berdua hilang dari pandangan. Hanya suara Dirah yang tidak begitu jelas kedengaran masih menusuk masuk ke dalam corong telingaku.
"Dirah…" Air mataku gugur membasahi pipi. Mataku masih lagi memandang hutan rimba itu. Tiada apa yang berlaku pada waktu itu.
Aku menangis semahu-mahunya. Aku berasa bersalah kerana membiarkan saja temanku itu dibawa pergi. Aku takut untuk bertindak. Pisau yang sengaja didekatkan pada leher Dirah menakutkan aku. Malam yang kelam itu, aku hanya mampu menangis. Entah tempat siapa harus aku meminta tolong. Bibirku hanya memanggil nama Dirah dan Dirah.
Tiba-tiba, aku merasa bahuku dipegang seseorang. Digoncang-goncangkan tubuhku.
"Asnah! Bangun!" Teriak ibuku.
Aku bangkit dari katil. Aku melihat sekeliling, wajah ibu kehairanan menjadi santapan mataku pada siang hari itu. Keringat disertai dengan air mata yang masih bersisa cepat-cepat dikesat. Nafasku turun naik kencang cuba aku tenangkan. Aku melihat jam digital yang ada di atas meja sebelahku, jam 9 tepat. Waktu kuliah sudah bermula tetapi aku semacam malas untuk bersiap sedia kali ini.
"Ya Allah…" hanya itu saja yang mampu diucapkan oleh wanita tua itu tatkala melihatkan keadaan anak daranya seorang itu. Risau.
Aku kemudian mendakap tubuh ibu. Aku bersyukur kerana semuanya hanya mainan mimpi saja. Tetapi…mengapakah aku merasakan seolah-olah ia benar-benar berlaku di depan mataku? Ah! Jangan difikirkan sangat.
"Kenapa dengan anak Ibu ni?" soal Puan Norah, ibu kepada Asnah. Dirasakan Asnah bermimpi buruk. Kalau tidak, masakan anaknya itu meronta-ronta sesekali bibirnya mengungkapkan sesuatu yang kurang jelas didengar saat tidurnya sedang lena. "Asnah mimpi buruk ke? Hmmm…ini mesti sebab Asnah tak cuci kaki kan semalam."
"Aku…" Ayatku terhenti di situ, aku tidak mampu untuk meneruskannya. Nanti bertambah sedih pula aku mengenangkan hal yang aku mimpikan. Kepalaku digelengkan saja menandakan semuanya tidak ada apa-apa terjadi.
Ibu hanya mengusap lembut rambutku. Tenang sikit aku dibuatnya. Dalam hati, aku berdoa agar dijauhkan dari perkara yang tidak baik. Dan kalau benar ia terjadi satu hari nanti, aku minta agar semuanya yang buruk tetap tidak melibatkan nyawa sesiapa.

DI Kolej Wawasan, dari jauh tempat dudukku. Aku hanya memerhatikan saja sekeliling kelas itu. Seperti biasa, kelas itu heboh penuh dengan cerita dan gosip baru bagaikan wujud pasar ikan di sini. Mataku tertumpu pada Dirah dari kejauhan. Dirah kelihatan begitu riang sekali di sana. Seperti tidak ada apa pun berlaku terhadap dirinya. Entah mengapa pula mimpi itu masih terbayang-bayang dalam relung otakku. Sekali lagi aku menggeleng, cuba untuk berfikiran positif. Aku tidak sepatutnya sampai terbawa-bawa mimpi itu ke sini. Ini hanya mainan mimpi. Mimpi yang mengganggu fikiranku saja.
"Asnah!" Aku dikejutkan dengan suara seseorang dari arah belakang. Lantas kutoleh. Itu Leo, kawan sekuliahku.
Leo memang peramah orangnya. Siapa sangka, mereka yang baru mengenalinya juga pasti boleh jadi kawan rapat keesokkan harinya. Malahan, dia jenis yang bukan sombong. Suka sangat berkongsi apa sahaja. Itulah kelebihan Leo yang mungkin orang lain tidak ada kelebihan itu.
"Kau okey ke? Dari tadi saya nampak awak, diam je."
"Maaf, Leo. Hari ni aku nak bersendirian," kataku sedikit meninggikan suara.
“Eh, mana boleh macam tu. Apa kata aku hiburkan kau. Aku akan…”
Aku memejam mata sekejap. Entah mengapa mood ku waktu itu semacam berubah. "Aku cakap aku nak bersendirian! Kau tak faham bahasa ke?"
Semua yang bergelar pelajar Kolej Wawasan di situ memandangku tatkala aku menjerit marah. Baru hari ni nampaknya aku berjaya berteriak. Aku menekup mukaku dengan tapak tanganku sekejap. Aku lihat roman wajah Leo sudah berubah semacam. Aku terus meminta maaf. Bukan aku sengaja memarahinya. Langsung tiada niatku. Aku tidak tahu ada apa dengan sikapku ketika ini. Berubah amat. Beg biruku serta buku-buku terus kuangkat. Aku bersiap sedia untuk meninggalkan kelas itu. Maaflah hari ini aku terpaksa ponteng kelas. Sekali lagi aku meminta maaf pada Leo sebelum beredar dari sana.
"Asnah…" panggil Dirah dari jauh.
Aku hanya menoleh sekejap lalu terus pergi. Panggilan Dirah tidak lagi aku hiraukan. Langkah kakiku semakin lama semakin cepat. Dari jauh, aku melihat sebuah pondok-pondok kecil tempat berteduh. Aku memilih pondok yang dekat dengan kediaman pelajar Kolej Wawasan. Aku ke sana untuk menenangkan fikiranku. Angin sepoi-sepoi meniup wajahku, sedikit demi sedikit aku dapat menenangkan diri.
"Mungkin aku patut berehat saja di rumah."
"Tut, tut."
Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej baru telah sampai. Aku melihatnya, mesej yang diterima daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Siapa pula agaknya yang menghantar mesej ke nombor telefonku ini? Aku membuka mesej itu, dahiku terus berkerut seribu membaca isi mesej itu. Aku sedikit terkejut namun masih mampu mengawal emosi.
"Ibu…" Aku berdiri.
Lagu yang dinyanyikan daripada Cassandra iaitu Cinta Terbaik berdering di telefon bimbitku. Ayah menelefonku. Pasti ayah juga mendapat berita yang sama. Aku terus menekan butang sambut.
"Asnah? Kamu dimana sekarang?" Jelas kedengaran suara cemas ayah di sana.
"Asnah masih di tempat kuliah ni. Ayah…ibu sekarang…"
"Ya, ayah tahu. Ayah akan ke sana sekarang ya." Telefon terus dimatikan. Kupandang skrin telefonku itu.
Dalam hati ini, Aku berdoa agar ibu tidak mengalami kecederaan yang serius. Melalui mesej yang diterima tadi, ibunya diberitahu terlibat dalam kemalangan kereta saat sedang memandu menuju ke persimpangan jalan. Tanpa sedar pula ada seorang kanak-kanak di situ dan akhirnya wanita itu terbabas mengena pada pokok yang tumbuh tidak jauh dari sana. Nasib jugalah ada pokok yang mampu menjadi penghalang kereta itu daripada terlanggar yang lain.  Walaupun dia lega bahawa kanak-kanak itu selamat tetapi tidak juga dia ingin ibunya itu terjadi sesuatu yang buruk. Hanya mesej itu sajalah yang diterimaku. Pasti orang yang mengirim mesej itu turut sama berada di tempat kejadian yang sama.
Pandangan kualihkan ke jalan raya sana, aku kenal sangat kereta proton hitam itu. Nombor plat yang tertera pada kereta proton hitam itu milik ayahku. Baguslah kalau ayah tahu aku di pondok sini. Kereta diberhentikan perlahan-lahan betul-betul dihadapanku. Tanpa banyak soal, aku membuka pintu dan terus memasukinya.
Sepanjang dalam kereta, tidak banyak yang kami bualkan. Masing-masing diam ingin menuju ke tempat destinasi. Dalam sejam begitu, kami tiba di sebuah hospital, Hospital Duchess of Kent. Kami sama-sama keluar dari kereta. Aku mengikuti saja ayah setelah dia siap bertanya di kaunter.
Sesampainya di bilik yang dimaksudkan oleh jururawat itu, aku lihat ibu sedang terbaring di atas katil. Di mulutnya dipasangkan alat oksigen. Hatiku dengan tiba-tiba dilanda rasa pilu pula. Mujurlah kerana tiada apa-apa juga kecederaan yang serius berlaku dengan ibu.
Ibu terjaga dari tidur. Tangannya menggapai pada alat oksigen itu, dia membukanya dengan lemah sekali. Senyuman terukir di bibirnya. "Asnah…"
"Ibu…ibu okey?"
Ibu mengangguk. Dia tidak mahu sesiapa pun risau dengan keadaannya. Dilihatnya sebelah Asnah sedang berdiri segak suaminya. Si suami lalu memegang erat tangan isterinya itu, dielus-elus. Suami isteri itu saling menghadiahkan senyuman paling manis. Terasa lama sangat Puan Norah tidak menatap wajah si suami. Maklumlah, sama-sama sibuk dengan kerja masing-masing.
Pasangan itu tidak lama kemudian bergurau senda. Aku turut senang hati bagikan aku juga turut merasakannya. Tidak ketinggalan juga aku mengusik ibu dan ayah sebagai tambahan penyeri suasana. Aku sangat rindukan begini, lama juga aku tidak merasanya semula. Aku berhasrat untuk keluar sekejap membeli makanan buat mereka.
Sebaliknya ada tujuan aku buat semua itu supaya masa itu dapat diisi oleh ibu dan ayah untuk bersama-sama.
"Hati-hati ya, Asnah."
Dengan perlahan aku menutup semula daun pintu bilik itu. Dari cermin pintu yang membolehkan orang melihat ke dalam, aku dapat melihat kemesraan ibu dan ayah di sana. Gembiranya hati ini jika kedua orang tuanya itu kekal seperti itu. Bukan hanya tahu menyibukkan diri.
Langkah kakiku terhenti apabila terlihat seorang lelaki bertopeng muka sedang berdiri jauh di penjuru sana. Jantungku bagai terhenti sekejap. Masing-masing kami saling bertatapan mata. Si lelaki itu tersenyum sinis sambil kedua tangannya dimasukkan dalam poket seluarnya. Aku cuba untuk maju depan, namun lelaki itu terus lari. Melihatkan itu, aku juga turut berlari mengejar lelaki itu.
“ke mana dia pergi?” Aku menggerakkan kepala ke kiri dan kanan. Hairannya, begitu pantas sekali lelaki itu menghilang. "Pelik. Aku macam pernah nampak lelaki tu. Tapi, di mana ya?"
Satu-satunya yang aku fikirkan ialah mimpi. Dialah lelaki yang ada dalam mimpiku semalam. Mustahil! Semua itu hanya mimpi, mana mungkin boleh jadi realiti. Tak. Mungkin tadi itu cuma seseorang yang kurang siuman saja.
"Aku tak boleh fikirkan sangat akan hal ini," kataku lantas bergerak mencari pintu keluar dari hospital itu. Aku hampir terlupa pasal makanan buat ibu dan ayah.

AKU memerhatikan ayah memapah ibu masuk ke dalam rumah. Aku ketawa saja sesekali merakam peristiwa paling bahagia bagiku. Kamera jenis Canon memainkan peranannya. Lucu pula apabila ibu beberapa kali melarang ayah supaya tidak perlu bersusah payah memapahnya, tapi ayah tetap dengan pendirian dia yang begitu. Barangkali wujud kerinduan si ayah waktu zaman bercinta dahulu. Zaman bercinta antara ayah dan ibu memang romantik.
Ibu pernah bercerita sewaktu ayahnya mengirim surat cinta. Mereka berdua masih lagi muda dalam lingkungan usia 20 tahun begitu. Di dalam surat yang berlipat itu penuh dengan bedak haruman bunga. Memang sudah menjadi hobi para pemuda tika itu meletakkan serbuk bedak di dalam surat. Bukan apa, tapi itulah cara berkesan bagaimana memikat gadis yang disukai dulu-dulu. Sehinggakan kuih-muih juga rajin ayah bawakan ke kelas sekolah semata-mata untuk diberikan pada si ibu.
Kata ibu, dia mahu merasakan zaman itu sekali lagi. Andai saja masa itu boleh diputar kembali, tidak akan disia-siakan waktu yang ada itu. Akan diisi setiap peristiwa indah di situ yang mungkin sekarang ini bolehlah dikenang-kenangkan. Entah ke mana pula perginya surat cinta mereka yang dulunya. Kalaulah masih ada, pasti akan dibacakan sekali lagi. Pasti memori yang dulunya akan bermain semula di fikiran ini. Walaubagaimanapun, masa tetap berjalan seiring dengan usia kita yang makin meningkat. Biarlah semua itu menjadi kenangan sampai bila-bila.
"Asnah…jomlah. Apa lagi yang Asnah tercegat di situ?"
Lamunanku terhenti. Aku segera mengekori ibu dan ayah.
Di atas meja, terhidang dengan pelbagai makanan. Ibu tersenyum semacam kagum. Ibu memuji, aku pula tersenyum malu. Maklumlah hari ini aku yang memasak semua hidangan. Pembantu rumah semuanya diberikan cuti. Masa yang ada ini akan diluangkan khas bersama keluarga sahaja. Sebelum makan, tidak lupa kami membacakan doa makan. Itu sudah kewajipan kita sebagai umat Islam.
"Hmmm…sedapnya," kata Puan Norah, dia meratah habis ayam goreng masakkan aku.
"Ibu ni…lebih-lebih pula. Kalau ibu gembira, Asnah pun turut gembira."
Ayah turut tertawa. "Sudah lama ya kita tidak berkumpul macam ni. Ayah suka pula kalau kita begini."
"Kan ayah. Asnah pun suka."
Kami tertawa bersama-sama. Nampaknya bukan aku sahaja yang merasai sedemikian rupa. Ternyata ayah juga merasainya. Jangan-jangan ibu juga tidak ketinggalan.

TELEFON bimbit Dirah dari tadi asyik berdering. Entah nombor telefon milik siapa pula ini. Sudah tahu salah dail nombor, kenapa masih juga mahu menelefon. Telinga Dirah sudah bingit gara-gara deringan telefon itu. Lantas dia menekan skrin telefonnya yang tertulis 'Audio Profil', disana terdapat beberapa pilihan audio yang diingini. Jarinya terus menekan mod senyap.
Walaupun dalam mod senyap, skrin telefon masih lagi tertayang sebaris nombor telefon yang tidak dikenali. Akhirnya, Dirah mengangkat juga.
"Dirahh…Dirah…" Suara bernada bisik itu menyeramkan anak dara itu.
Dirah cuba menjawabnya dengan seberani yang boleh. Zaman sekarang, semuanya di hujung jari saja. Pasti ada yang cuba mempermain-mainkan diri dia. Apalagi sekarang ni muncul pula 'Scammer', semua orang sudah maklum akan gelaran itu. Dirah tidak akan sesekali terpedaya. Suara itu masih lagi berterusan. Dirah hilang sabar.
"Hei, kamu! Jangan cuba-cuba permainkan aku. Aku call polis, baru awak tahu." ugutnya.
"Tut." si pendail terus mematikan telefon.
Dirah puas hati. "Tahu takut. Lain kali, kita face to face lah. Siapa paling berani. Nak takut-takutkan orang bukan begitu caranya."
"Dirah…" panggil seseorang. "Ke sini rupanya awak. Buat apa awak? Puas aku cari, jomlah kita jalan."
Gadis yang berlesung pipit itu melepaskan rambutnya yang keriting itu. Gincunya merah pekat yang tercalit pada bibir mungil mampu menggoda sesiapa saja yang memandangnya. Apatah lagi gadis itu berdarah campuran cina. Mata siapa yang tidak lekat pada gadis itu.
"Maaf ye. Ni ada orang saja kenakan aku, siapalah yang berani sangat buat macam ni. Ingat saya takut ke?"
"Eh, siapalah yang berani sangat tu. Jangan-jangan ni semua perbuatan Geng Khalid mungkin. Dia orang tu selalu sangat suka kenakan orang. Memang tak mustahil," Gadis kacukkan cina itu membuat andaian sendiri.
"Hmm…macam lah awak ni tahu semua. Jomlah kita jalan. Malas pula aku nak fikir semua ni." Dirah memasukkan telefonnya itu ke dalam beg sandang. Langkah kakinya terus dihayun. Si gadis kacukkan cina itu juga bagai boleh ikut rentak kaki Dirah saja.
Sama-sama mereka berjalan memasuki kenderaan milik si gadis kacukkan cina itu. Dua lagi gadis turut sama menyertai mereka. Kalau ikutkan betul, mereka sepatutnya berlima. Seorang lagi Asnah. Tetapi, kali ini langsung tidak kelihatan kelibat gadis itu semasa kuliah berjalan.
"Mana Asnah pergi, girls?"
"Aku dah cuba call dia, tapi tak disambutnya. Mungkin dia sibuk." Dirah antara yang rapat dengan Asnah. Dia kenal benar temannya yang seorang itu.
Dirah membuka applikasi whatsapp. Nama yang tertulis Asnah terus ditekan, dibacanya sekali lagi. 'Dirah…saya tak masuk kelas hari ni. Ibu baru keluar dari hospital. Maaf ya, tak dapat nak keluar sama-sama dengan korang. Aku kira nak habiskan masa ni dengan ibu dan ayah aku. Jangan bagitahu yang lain sebab aku okey. Kalau ada apa-apa, boleh bagitahu aku je. Sampai jumpa esok.'
Kenapa dengan Asnah kelmarin itu? Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Tak apa, kejap lagi dia mesti akan okey.
Kereta milik si gadis kacukkan cina itu terus memecut laju pergi. Memang begitulah hobinya ketika memandu. Dalam perjalanan itu, tidak disangka pula keadaan jalan raya waktu itu sangat sesak. Si gadis kacukkan cina itu mendengus kasar, malahan yang lain juga turut mengeluh kecil. Nampaknya masa hiburan mereka mengambil masa yang lama lagi.
"Kenapa sekarang baru nak jem," tegur si gadis kacukkan cina. Terus saja tangan kanannya diangkat, jari-jemarinya mengurut dahi yang tidak terasa pening pun. Kepala dilentokkan sedikit. Stress barangkali.
Tanpa mereka sedar, di sebelah kenderaan mereka ada seseorang sedang asyik memerhati mereka. Gambar demi gambar berjaya diambilnya. Diamati kembali setiap gambar dengan penuh dendam dan kebencian. Dia tersenyum puas hati sambil tergelak kecil. "Tunggu dan lihat."
"Tak guna!" hanya ayat itu yang terkeluar dari bibir si gadis kacukkan cina. Terpaksalah masa hiburan mereka itu ditangguhkan, keadaan jalan raya amat sesak menjelaskan bahawa masa tidak mengizinkan. Lebih kurang dua jam mereka berempat menunggu di sana semacam cacing kepanasan.

HARI ini kelas berjalan seperti kebiasaannya. Dirah mengukir senyuman saat terlihat aku dari kejauhan sedang meletakkan beg birunya juga buku-buku atas meja. Gadis itu kemudian melabuhkan punggung perlahan atas kerusi. Seperti biasalah, kedua tangannya diletakkan atas meja. Pandangan matanya lurus memandang ke hadapan.
"Asnah!" Dirah melambai-lambai sambil berjalan terkedek-kedek.
Aku berdiri dari tempatnya, cuba mencari kelibat si pemanggil. Ah! Dirah rupanya.
"Asnah…tak rindu kami ke?"
"Pasal kelmarin tu, aku minta maaf tau. Aku tak dapat ikut korang sekali," kataku.
"Eh, tak apalah. Kami faham…lagipun, kami tak jadi jalan kelmarin. Jalan agak sesak betul."
"Oh, yakah? Jadi, macam manalah?"
Dirah tersenyum seketika. "Kami kira nak ganti dengan hari ni. Lagipun, kau kan dah ada. Jomlah…awak bukan selalu ikut dengan kami."
"Hmmm…aku…"
"Kamu semua!" Tiba-tiba saja Leo berteriak membuatkan Asnah tidak jadi meneruskan kata-katanya. Semua mata hanya tertumpu pada Leo.
"Sally hilang!" Leo kelihatan seakan-akan terkejut dengan hal itu. Beberapa orang pelajar perempuan menekup bibir mereka tanda tidak percaya.
"Hilang macam mana pula?" soal si gadis gempal pula.
"Kamu tak dengar ke berita kehilangan dia? Dia tak balik-balik sejak kelmarin."
Seorang gadis masuk ke kelas, dia menangis lalu duduk atas tempat kerusinya. Sesekali dia menyeka air matanya. Cuba untuk mengawal dirinya. Dia adalah salah seorang kawan antara Dirah dan aku juga.
"Mustahil! Kelmarin kami sama-sama pulang. Tak mungkin hilang begitu saja. Atau mungkin dia ke lain tempat." Dirah mengandaikan saja.
Tangisan si gadis yang baru saja tiba di kelas itu makin kuat, dia menggeleng-gelengkan kepala. "Tak…"
"Yang peliknya. Kereta Sally tersadai di tengah jalan raya. Pintu kereta terbuka, semua barangnya seperti telefon, wang…di sana. Tak mungkin dia tinggalkan semua itu sedangkan barang berharga banyak di sana. Pelik…" Leo memeluk tubuh ala-ala seorang detektif yang pakar.
"Macam mana pula kau tahu pasal ni? Jangan nak takut-takutkan kami." Aku tidak berapa suka akan hal itu.
"Betul. Tadi aku ada di tempat kejadian tau, tak percaya korang pergilah tanya mak bapa Sally tu." Marah Leo. Sakit hati pula dia, apa yang diberitahu hanya dianggap seperti mereka-reka cerita kosong saja. Siapalah yang mahu mereka cerita di saat-saat situasi yang sedang gusar begini.
"Buat masa ni kita hanya perlu bertenang. Semuanya akan okey! Pasti pihak polis sekarang sedang gigih cari jalan penyelesaian. Aku yakin Sally akan dijumpai," sua Leo.
Semua terdiam. Ada yang bersetuju, ada juga yang masih ketakutan. Takut hal itu lain dari yang dijangkakan oleh Leo. Apapun, sebanyak sedikit membantu para pelajar kolej di kelas itu menenangkan diri.
Lain pula pada Dirah. Dia tidak dapat menerima kenyataan ini. Tidak mungkin. Dilihatnya sekejap Asnah lalu tertunduk ke bawah. Merenung kasut Adidas merahnya. Kakinya terasa lemah sekali. Sally ke mana pula selepas tidak jadi ke pusat hiburan? Adakah ini hanya permainan si gadis kacukkan cina itu saja? Buat apa mahu bermain lagi. Tidak ada gunanya.
'Bertenang. Semuanya akan okey.' Dirah memujuk diri.

JAM menunjukkan pukul 8:30 malam. Sekali lagi dikejutkan dengan hal yang pernah terjadi pada Sally, tapi kali ini berlaku pada insan lain. Seorang pelajar sekuliah mereka dan seorang lagi yang sedang bekerja. Kedua-duanya adalah perempuan. Kedua-duanya dipercayai hilang semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah, kes sama dengan Sally. Kes penculikkan. Memang kes penculikkan.
Mataku masih lekat pada kaca televisyen yang menayangkan dua mangsa yang hilang itu. Selepas seorang, mesti seorang lagi hilang. Siapa seterusnya. Punat alat kawalan jauh itu terus ditekan, kaca televisyen yang masih lagi dengan berita yang sama tertutup. Langkah kakinya terus dihayun ke biliknya.
Masa tidak adanya kelas sebegini dihabiskan di rumah saja, aku baring terlentang atas katil. Ibubapaku pula tidak ada di rumah, seperti kebiasaannya. Nasiblah hari ini aku ditemani beberapa orang pembantu rumah yang diupah kerja di rumahku. Fikiranku terus menerawang jauh, mimpi yang dialamiku hari itu pasti ada kaitannya.
"Aku mengarut apa? Apa kaitannya sekarang dengan mimpi tu." Aku menggeleng. Jauh di sudut hati, timbul perasaan risau pada sahabatku si Dirah. Lain semacam saja dirasakan aku.
Telefon yang dibiarkan atas meja sebelah katil diambil. Nombor telefon Dirah didail.
"Asnah…ada apa tu?" Jawab Dirah.
Lega sikit aku mendengarkan suara Dirah. "Kau okey ke? Tak ada apa-apa ke yang terjadi?"
"Maksud kau apa, Asnah?"
Aku mencebik bibir. "Tak ada apa-apa. Hmmm…aku cuma nak pastikan kau okey je. Kalau macam tu, okeylah. Kalau ada apa-apa. Kau hubungi aku je tau."
“kenapa? Ada apa-apa ke?”
“Tak ada apa-apa…kau di mana sekarang?"
"Aku kat rumah. Hmm…nampaknya aku bersendirian lah untuk kali ni. Mak dengan ayah masih belum pulang lagi."
Tut, tut, tut…
Telefon terus dimatikan.
"Asnah?" Dirah melihat skrin telefonnya, mesej daripada nombor tidak dikenali lagi. Pelik. Terus dimatikan saja telefon.
Waktu itu Dirah berada di luar balkoni. Telefon miliknya dimasukkan ke dalam poket seluar. Terang sekali bulan pada kala ini, beberapa buah rumah terlihat walaupun tidaklah begitu jelas. Suasana yang dingin membuatkan gadis itu berpeluk tubuh sendiri. Aneh. Bintang-bintang pada malam ini tidak timbul.
Di hujung pagar rumahnya, dia semacam melihat sekujur tubuh sedang berdiri. Gelap. Tetapi hanya separuh tubuh saja dilihatnya, dia menganggap itu cuma ilusi matanya saja.
Si gadis itu kemudian masuk ke biliknya, pintu kaca ditutup rapat. Begitu juga dengan langsir. Tubuhnya terus direbahkan ke katil empuk itu. Terasa tulangnya sudah lama tidak merehatkan badan.
Pang!
Tersentak Dirah. Lantas dia mencari bunyi itu datang. Ternyata dari arah dapur. Dia mengambil apa-apa saja benda yang boleh dijadikan sebagai senjatanya. Perlahan-lahan dia menapak masuk. Di lantai dapur itu, kelihatan pinggan kaca telah pecah kepada beberapa serpihan. Dirah mencangkung, dia meneliti pinggan yang diperbuat daripada kaca itu.
Tanpa sedar, seseorang sedang bergerak menghampiri dari arah belakang.
"Aaargh!" Dirah berteriak tatkala rambutnya ditarik kuat oleh seseorang. Benda yang tadinya menjadi senjata Dirah sudah terlepas dari tangannya. Kedua-dua tanganya cuba untuk membuka tangan milik seseorang. Kuat sekali genggaman tangan orang ini sehinggakan tubuh Dirah juga mampu ditarik.
Gadis itu meronta-ronta cuba melepaskan diri namun apakah dayanya. Dia agak lemah untuk melawan orang yang dia berdepan sekarang. Dirah sempat melihat dengan siapa dia berdepan, seorang lelaki bertopeng muka. Hanya mulutnya saja kelihatan. Tidak ada riak gembira pun terukir di bibir lelaki itu. Serius. Mana mungkin Dirah boleh melawan lelaki yang tampak kuat itu.
Dirah disandarkan pada dinding.
"Lepaskan aku!" Terketar-ketar Dirah menjerit.
Pap!
Satu tamparan dihadiahkan pada pipi Dirah. Dirah yang dalam ketakutan itu hanya tahu menjerit, tamparan yang dirasakan tadi bagai tidak ada rasanya bagi dia. Apa yang dia mahu sekarang hanya dilepaskan.
"Dirah…Dirah…dalam banyak-banyak gadis muda, kau antara yang paling aku benci. Aku akan tamatkan riwayat kau di sini," suara garau itu menakutkan Dirah. Oleh sebab takut dengan ayat yang diungkapkan oleh lelaki itu, Dirah pantas bangkit lalu meninggalkan lelaki itu di sana.
Dalam kelam-kabut itu, Dirah telah masuk ke biliknya. Dia mengurung diri dia di situ. Tempat ini dirasakan paling selamat. Cepat-cepat dicarinya telefon bimbitnya. Tidak dijumpai.
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. "Ke mana lagi kau nak lari? Sia-sia saja kau nak lari dalam rumah sendiri. Dasar! Apa kata kau ke sini saja."
Dirah sudah menangis ketakutan. Keringat yang keluar sudah tidak dipedulikan lagi. Apa yang penting ialah bagaimana dia harus menyelamatkan diri. Semakin lama semakin dekat suara garau milik lelaki itu. Dirah buntu memikirkan jalan keluar.
'Fikir! Fikir!' Dia sudah menangis-nangis.
“Aku benci kau Dirah! Aku benci ayah kau! Ayah kau lah yang menyebabkan anak aku meninggal.” Tiba-tiba suara lelaki itu bertukar sedih.
“Aku sayang sekali dengan anakku. Tapi, ayah kau pembunuh! Pembunuh! Oh…Mira…"
Mira? Kejadian itu telah pun berlaku 10 tahun yang dulu, sewaktu itu terjadi kebakaran di sebuah Apartment Aman. Ayah yang terperangkap bersamaku di sana semacam tidak ada harapan saja. Beberapa orang berjaya menyelamatkan diri. Api marak disertai dengan asap kepul hanya menanti saja apa yang berlaku seterusnya. Si ayah memeluk erat Dirah yang masih kecil, langsung tidak tahu apa-apa. Sehinggalah datang seorang gadis yang berani, dia inilah yang dinamakan sebagai Amirah.
Dialah yang menyelamatkan dua beranak itu tetapi malang bagi nasib dirinya. Dia terperangkap dalam tu. Tidak ada apa yang boleh dibuat ketika itu. Walaubagaimanapun, kami sangat mengenang jasa gadis ini kerana berani mengambil risiko walaupun melibatkan nyawanya sendiri. Jarang sekali kita lihat gadis yang seberani Amirah. Bererti lelaki bertopeng muka ini adalah ayahnya.
"Engkau ayah Mira?"
"Ya, aku ayah Mira. Kenapa? Kau terkejut. Semua ini salah awak semua! Kalau tak kerana kalian, Mira masih hidup sehingga sekarang! Sebab anakku meninggal juga, ibunya juga turut kemalangan akibat kesedihan. Engkau harus menerima pembalasannya."
"Ya Allah…benda tu sudah berlalu. Pak cik harus reda dan terima kenyataan ini. Kita tak boleh berbuat apa-apa jika itulah yang akan terjadi."
"Ah! Kau siapa nak ber pak cik-pak cik dengan aku." Lelaki tua itu bertambah bengang. Dia menendang-nendang pintu bilik Dirah. "Nak tahu, kenapa aku culik semua budak perempuan sebaya kau. Semua itu helahku saja, tapi nampaknya kau begitu berani ya. Langsung tak tahu takut."
Debar Dirah semakin memenuhi dada tatkala pintu bilik seolah-olah mahu pecah. Antara takut bergabung dengan kebingungan, dia hanya terpandang pada cermin pintu di balkoni. Belum sempat pun dia membuka cermin pintu, lelaki itu sudah berjaya memasuki rumah itu. Terus ditariknya rambut Dirah sekali lagi. Dirah hanya mampu meronta-ronta kesakitan.
"Lepaskan aku…lepaskan…" Rayu Dirah meminta simpati.
"Tak!" Lelaki itu enggan mengikuti. Hatinya penuh dengan amarah, dendam yang harus dibalas.
"Apa yang engkau tak puas hati? Pasti anak kau sekarang tak ingin lihat ayahnya seperti ini."
"Oh…berani pula kau menasihati aku ya! Nah! Rasakan." Ditendangnya perut Dirah sehingga gadis itu lemah terbaring. Dirah memegang perutnya yang sakit itu, hampir saja dia pengsan.
Lelaki itu tertawa bahagia. "Rasakan!"

AKU memasuki rumah milik keluarga Dirah. Aneh. Keadaan rumah berantakkan. Sejak dari rumahku lagi, hatiku terus mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Apalagi kalau teringatkan Dirah. Seolah-olah mengasak diri ini untuk ke rumah temanku itu. Saat tahu Dirah berseorangan di rumah, aku tidak mahu buang masa lagi. Aku mesti memastikan sesuatu tidak berlaku pada Dirah.
Perlahan-lahan aku maju ke depan. Jantungky bagai hendak tercabut saja saat melihat Dirah terbaring membulatkan tubuhnya. Aku menekup mulutku agar tidak ada satu suara pun kedengaran. Benarlah apa yang dimimpikan aku selama ini adalah kejadian realiti. Pasti mimpi ini petunjuk daripada  Allah. Pasti aku insan yang terpilih oleh-Nya untuk menyelamatkan Dirah.
Aku mundur ke belakang tanpa sedar tubuh belakangku terkena pada pasu kecil yang diperbuat daripada kaca. Bunyi pasu pecah itu menarik perhatian si lelaki, Dirah masih meraung kesakitan. Bulat mataku. Tanpa banyak fikir, aku berusaha mencari tempat persembunyian agar tidak dilihat oleh lelaki itu. Bawah meja beralaskan kain biru yang hampir mencecah lantai menjadi tempat utamaku bersembunyi. Meja itu terletak tidak jauh dari sana. Aku dapat melihat kaki milik lelaki itu, setapak demi setapak dia melangkah.
“Siapa pula yang datang ni?” Kayu entah dari mana lelaki itu dapat, dibiarkan kepalanya bergeser pada permukaan lantai.
Aku semakin dilanda rasa takut. Aku mesti menyelamatkan Dirah dahulu. Aku mesti cari jalan keluar. Aku mendapat satu idea.
Lelaki itu tersenyum apabila mendengarkan deringan telefon bimbit milikku. Matanya memandang pada meja di sebelahnya. "Rupanya kau ke situ ya."
Ketika si lelaki itu menyelak kain biru alas meja itu, air mukanya terus berubah. Hanya kelihatan telefon bimbit saja. "Tak guna! Kau permainkan aku."
Apabila mendapati Dirah juga tidak ada di tempat tadinya. Semakin marah lelaki itu dibuatnya. Matanya liar mencari kelibat Dirah. Siapa pula insan yang berani datang ke mari?
"Cepat Asnah…cepat," kata Dirah. Panik sekejap aku sewaktu menghidupkan enjin kereta milik ayahku.
"Tolong! Tolong!" Dirah menjerit meminta pertolongan jirannya. Mengapa macam jirannya itu semacam tidak menyedari saja mereka waktu saat-saat genting begini. Apa mereka tidur mati waktu begini?
Lolongan Dirah membuatkan si lelaki berusia itu segera keluar dari rumah itu. Dia tersenyum sinis apabila melihat Dirah dan Asnah yang sudah berada dalam kereta proton hitam.
"Cepat Asnah!" Dirah semacam gelisah sudah. Lelaki itu semakin lama semakin hampir.
Akhirnya, aku lega boleh menghidupkan kereta. Terus saja kereta dipandu laju. Si lelaki itu terhenti, dia hanya memaki. Kakinya terus diatur kemas, kereta jenis Hilux yang diparkir tidak jauh dari kawasan perumahan itu terus dipandu. Mulalah sesi kejar-mengejar antara lelaki itu dan dua orang gadis. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di sana ketika itu. Ini membuatkan urusan si lelaki bertopeng muka itu menjadi lebih mudah.
"Jangan ingat kamu boleh larikan diri semudah itu." Kaki lelaki itu terus menekan pedal minyak. Sudah tidak dipedulikan berapa laju kereta yang dibawanya, niatnya hanya satu. Dirah harus menerima pembalasan.
Si lelaki itu masuk ke jalan raya bahagian kanan, di sebelah kereta proton yang dibawa olehku. Kami bertentangan mata. Ada maksud tersirat di balik bibir lelaki itu. Lelaki bertopeng muka itu memusingkan stereng keretanya ke kiri beberapa kali hingga menyebabkan aku gagal mengawal kereta proton ini. Nasiblah kereta yang dibawaky terkena pada tiang lampu yang ada di tepi jalan raya.
Aku dan Dirah cuba keluar dari kereta Proton hitam itu. Darah yang mengalir di kepalaku sudah tidak diendahkan. Kasihan pada Dirah. Kakinya seperti terseliuh, hanya terdapat luka kecil saja pada mukanya. Namun, si gadis itu tetap gagah cuba untuk menyelamatkan dirinya. Aku memapah Dirah sepanjang di perjalanan itu. Aku tidak kira ke mana kami harus pergi lagi. Yang kami tahu, hanya menyelamatkan diri.
Si lelaki itu tergelak. Bahagia rasanya. Kereta Hilux yang dihentikan di atas jalan raya, kembali dihidupkan enjin kereta. Sempat juga aku dan Dirah mengerling.
Sementara itu, datang pula bunyi siren milik kenderaan pihak polis. Beberapa kenderaan pihak polis sedang menuju ke mari.
"Siapa pula yang panggil polis ni?" Marah si lelaki bertopeng muka. Dia tidak kisah, niatnya harus dikecapi. Dia kemudian menekan pedal minyak kereta. Beberapa orang polis yang datang, menggunakan pembesar suara cuba untuk menghentikan tindakan si lelaki bertopeng muka itu namun tidak berjaya.
"Aarghh!"
Sama-sama cuba untuk selamatkan diri. Kepalaku pening, kabur. Gelap dan semakin gelap. Darah yang mengalir sudah tidak aku hiraukan. Aku tidak ingat apa yang berlaku. Yang aku ingat aku menolak tubuh Dirah, entah selamatkah dia. Berlaku juga tembak- menembak ketika itu. Semuanya kemudian menjadi sunyi.

AKU terdengar seseorang memanggil namaku. Perlahan-lahan, kelopak mataku dibuka. Kepalaku terasa sakit. Aku memerhatikan sekeliling tempat itu. Ternyata aku berada di hospital, aku terbaring di atas katil putih ini. Aku melihat ibu, ayah juga Dirah. Di wajah Dirah sudah kulihat lukanya yang semakin pulih. Aku kebingungan sendiri. Sudah berapa lama agaknya aku terlelap di sini.
"Asnah…" Ibu menangis. Air matanya berlinangan jatuh tidak tertahan lagi.
"Terima kasih banyak kawan…kau selamatkan aku…" Dirah berpura-pura untuk senyum. Dia merasa hiba melihat Asnah dalam keadaan begitu. Sebentar lagi dia akan tahu apa yang terjadi.
Kulihat ayah yang dari tadi berdiam diri cuba untuk tabahkan hatinya. Dari raut wajahnya, mereka semua tampak sedih. Mengapa harus sedih sedangkan aku tidak apa-apa di sini. Aku masih di sini. Kalian tidak perlu risau.
"Kenapa sedih semua ni? Asnah okey…"
Tidak ada satu pun ayat yang terkeluar dari bibir. Hanya ibu yang semakin lama semakin kuat tangisannya.
“Sudahlah ibu, Asnah okey. Jomlah kita…” Kataku terhenti di situ. Selimut yang aku selak membuatkan aku terpempan. Aku terdiam seketika. Hatiku rasa seperti dicarik-carik.
"Mana kaki kiri Asnah?" Terketar-ketar suaraku. Aku melihat kaki sebelahku sudah tiada. Apa yang terjadi sebenarnya hingga aku jadi seperti ini? Kenapa? Aku?
Hatiku makin sebak. Air mata berguguran, sesekali aku mengesatnya. Tak kusangka hal sebegini menimpa diriku. Waktu itu, aku menangis semahu-mahunya. Aku tidak peduli lagi dengan apa aku berhadapan tika itu.

2 Bulan Kemudian…

PEMANDANGAN tasik di sana sungguh indah waktu petang. Aku tersenyum sendirian. Kupandang Dirah yang berada di sebelahku itu. Gadis itu tetap setia menemaniku, pendengar telinga masih melekat pada telinganya. Entah lagu apa yang sedang dimainkan itu sehingga membuatkan kepala gadis itu ikut menari. Aku menghembuskan nafas lega. Akhirnya semuanya kembali kepada sedia kala.
Kejadian yang berlaku 2 bulan lalu benar-benar memberi kesan pada diri ini. Meskipun aku kehilangan kaki, tetapi aku cukup berpuas hati. Aku dapat menyelamatkan rakanku. Manakala, sally juga dua orang gadis itu lagi juga berjaya ditemui. Aku mengucap penuh bersyukur.
"Asnah…"
"Ya," jawabku.
"Kau okey ke? Aku lihat kau tersengih-sengih seorang ni kenapa?" Pendengar telinga dibuka, disimpannya di dalam beg sandang.
"Okey lah…aku rasa bersyukur sangat…Allah sayangkan kita semua." Asnah tersenyum lagi. Dirah mengangguk setuju.
"Eh, jomlah kita balik. Dah lewat dah ni."
"Ha ah…jomlah."
Aku dan Dirah bingkas bangun, kami saling bergurau senda antara satu sama lain. Kehilangan kaki bukanlah sebab untuk aku harus berputus asa dalam kehidupan ini. Malah, membuatkan diriku menjadi semakin kuat apabila berhadapan dengan dugaan yang bakal menimpa suatu hari nanti. Sesungguhnya, ALLAH itu Maha Mengetahui apa yang berlaku yang masa hadapan.

10 comments:

  1. Baru baca separuh nanti Mrs. A datang lagi sambung baca ;-)

    ReplyDelete
  2. ter sedih pulak baca :(

    ReplyDelete
  3. bagusnya. pandai bercerpen sherly ni. cuba hantar ke penulisan2u pula. mana tau ada rezeki entri ni akan diterbitkan

    ReplyDelete
  4. besnyaaa keep it up girlll... :D
    follow sini #77

    ReplyDelete
  5. sha bookmark dulu okay nanti free sha baca. btw follow sini :)

    ReplyDelete

Gais...jangan lupa drop komen kamu! TQ^^